SEMANGAT UPSR 2010 MEMBARA

SEMANGAT UPSR 2010 MEMBARA
Memasang kain sepanduk tanda sokongan yang menanjap dari jiwa luhur agar anak didik tetap berjaya dalam doa dan harapan.

Monday, September 7, 2009

HUBUNGAN 2 NEGARA SAHABAT DARI SATU AKAR BUDAYA

Kita baru sahaja selesai menyembut Hari kemerdekaan Malaysia ke-52 dalam suasana sederhana tetapi jati diri bangsa tetap terpelihara. Siapa kata rakyat Malaysia tidak patriotik? Beberapa hari yang sudah hingga semalam, saya membaca banyak hal disuakan tentang hubungan Malaysia dan Indonesia. Apa yang malangnya, tarikh kemerdekaan bangsa Malaysia semacam diperlekehkan oleh beberapa golongan yang tidak senang di Indonesia, sehingga bendera Malaysia dibakar. Ini suatu provaksi dan juga penolakan kepada Malaysia. Memang kalau kita berbeza dalam banyak hal, tentulah juga dalam banyak hal kita ada ciri persamaan. Nada akhbar di Malaysia lebih banyak menuangkan soal kompromi atas dasar negara sahabat yang satu akar budaya. Walaupun ada yang bunyi sedikit keras, tetapi lebih menjurus kepada keamanan.
Memang betul, rakyat bangsa Indonesia janganlah terlalu emosi melihat kejadian-kejadian pembantu rumah yang dilayan kejam, wujudnya ketua pengganas di Indonesia diketuai oleh warga Malaysia, soal lagu milik orang itu dan ini, hubungan diplomatik bagi pemilikan wilayah seperti Sipadan dan Ligitan atau Ambalat dan lain-lain suasana. Itu hanya sebahagian kecil yang mewarnai hubungan 2 bersaudara ini. Tetapi janganlah sampai ke tahap memijak-mijak demokrasi Malaysia. Kita patut saling hormat-menghormati. Biarkan pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dan amanah kedua-dua negara. Saya cukup tabik dengan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dalam suasana panas itu sempat juga menitipkan salam takziah kepada seluruh bangsa Indonesia di atas musibah alam di Tasikmalaya. Itulah ciri kemanusiaan tinggi orang Malaysia yang dikatakan kejam dan juga macam-macam provaksi dibuat. Kalau suasana ini berterusan, rasanya hubungan kedua-dua bangsa akan dingin dan merugikan hubungan baik yang sedia terjalin. Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Biarpun Indonesia mengatakan dirinya hebat, besar dan kuat namun Malaysia tidaklah respon serakus itu. Apakah niat di sebalik lakonan ini? Adakah Indonseia dibawah SBY sama kejamnya dengan rejim Soekarno yang pernah menganyang Malaysia pada 1963 yang lalu? Adakah itu yang dimahukan oleh bangsa Indonesia? Rasanya bangsa Malaysia yang terkenal berbudi bahasa itu belum pernah lagi membakar dan menginjak-injak bendera bangsa Indonesia. Bukanlah kita besar kepala, kemakmuran ekomomi, sosial, Malaysia dan kestabilan politik telah dikongsi juga dengan warga Indonesia termasuk warga asing yang lain. Kemanusiaan bangsa Malaysia amat tinggi, memang ada yang "nakal" tetapi itu bukanlah menunjukkan suara keseluruhan bangsa Malaysia. Kita masih banyak saluran yang boleh diguna pakai bagi menyuarakan bantahan kemanusian kita, kepekaan kita dan rasa persaudara sebangsa dan senegara kita. Rasanya ramai orang Malaysia juga terluka dengan sikap ini. Setelah beribu-ribu rakyat Indonesia mendapat peluang ekonomi di bumi Malaysia yang makmur ini, adakah patut negara yang pernah menyuapkan isi perut mereka dihina dan dicaci serendah-rendah martabat? Kalau pun kita tidak memujinya, cukuplah kita jaga hati dan budi yang banyak dilakukan oleh Malaysia kepada yang berkenaan. Soal-soal hukum di Malaysia, itu adalah tertakluk kepada perundangan yang ada, tidak kira rakyat Malaysia sendiri atau orang luar. Kita akan jalankan tanggungjawab sebagai negara berdaulat. Kita bangsa Malaysia selalu mengalah, dan selalu mengganggap kita adik dan Indonesia adalah abang kita. Begitu juga dengan lalu-lintas karya-karya buku Indonesia yang bebas sahaja masuk ke sini tanpa banyak birokrasi tetapi buku Malaysia untuk masuk ke Indonesia sangat sulit dan susah. Tidak pun karyawan kita marah-marah, kerana itu garis panduan negara Indonesia. Hanya Malaysia berasakan bahawa kita patut sentiasa kompromi dalam segala tindakan sebelum mendatang musibah yang memusnahkan bangsa dan negara. Walaupun ada niat-niat yang lain, mungkin itu persepsi yang lain.
Bagi saya, kita masih saudara. Dalam banyak hal, kita diajar untuk saling toleran di antara satu sama lain. memang dalam keluarga sendiripun kita saling tidak sehaluan apa lagi dalam soal bernegara, berbangsa dan berwilayah. Tapi janganlah sampai mahu merosakkan rumahtangga dan hubungan kejiranan kita. Masih ada ruang-ruang untuk kita berusaha bertentang mata menyelesaikan secara baik. Kalau pemimpin kita tunjukkan komitmen tinggi dalam mempersatukan hubungan muhhibah negara bangsa? Mengapakah kita warga mahu mencari sengketa? harapan kita bahawa kedua-dua bangsa dapat melihat persamaan yang ada untuk menyatukan hubungan 2 negara, agar tenang, damai, sejahtera dan terkawal meskipun ada tindakan yang "nakal" semacam mahu menghancur apa yang kita ada sekian lama. Perbebezaan yang ada patut kita tangani secara berhati-hati, diplomasi dan penuh kebijaksanaan selain apa yang ada kita gunakan sebagai alat untuk menyempitkan jurang perbezaa itu. Tidak guna kita bertelagah sehingga bertumpahan darah di bumi ini, kalau menang pun jadi arang yang kalah jadi debu. Kemanusiaan pun hilang, zaman-zaman sejarah akan mentertawakan kita manusia yang dianggap intelek, bertamadun tetapi masih pemikiran zaman batu.
Saya tetap optimis bangsa Indonesia seluruhnya tidak akan menggyang Malaysia lagi buat kali ke-2. Semoga kemerdekaan bangsa Malaysia akan direstui dalam usia ke-52 tahun. Bagi bangsa Malaysia, tiada hadiah yang lebih berharga selain mendapat kemakmuran, kedamaian, perlindungan keselamatan bangsa dan pemacuan ekonomi negara bertambah ke hadapan. Semoga warga yang lahir di langit dan di bumi Malaysia akan tetap bersatu dan menyedari kewujudan kita di alam ini, dan pertahankan kemerdekaan negara hingga titisan darah yang terakhir. Salam merdeka buat anak bangsaku.

No comments:

Post a Comment